Powered By Blogger

Saturday, January 23, 2010

Balik Kampung!

Hari ni Iyddin balik kampung. Dah agak lama juga Iyddin tak balik ke kampung. Pagi-pagi lagi Iyddin dah kemas pakaian sendiri untuk tidur di kampung. Tapi pilot kata ," Petang ni balik, tak payah tido kat sana." Selain kemas pakaian Iyddin pun ada agenda lain lagi. Iyddin nak bawak Tona sama. Alamak... mana boleh, diinnn. Iyddin pun tarik muka. Monyok je sepanjang perjalanan. Bila sarapan pun Iyddin tak mau turun kereta. Tapi bila orang dah habis makan dan nak masuk kereta dia pulak nak makan. Jadi mama pun tapaukan ajelah. Makan di kampung je nanti. Bila Iyddin merungut-rungut lapar, pilot pun singgah kat mobil beli roti. Barulah diam budak sorang ni.

Sampai di kampung Iyddin terkejut sebab suasana kampung dah berubah. Pokok-pokok buah-buahan, pokok getah dan pokok kelapa yang ada di sekeliling rumah Tok Nyang semua dah menyembah bumi. Ooo... rupa-rupanya nenek nyang ada rancangan nak tanam kelapa sawit kat sekitar rumah. Beginilah keadaan rumah nenek nyang sekarang.



Rumah nenek nyang di Kampung Parit Gantong,Batu Pahat

  

Pemandangan dari sisi rumah


Aksi Iyddin di kampung...
   
 

     
Tok Ngah, Atuk dan Bazli sedang mengukur jarak tanaman kelapa sawit

    







Tuesday, January 19, 2010

Kisah misteri minggu ini.

Kelmarin mama cek beg Iyddin, mama tak jumpa pensel. Sebatang pun tak ada. Jadi mama masukkan dua batang lagi pensel yang baru. Balik sekolah mama cek lagi... "Aik! Tinggal satu je? Tu pun dah tinggal separuh. Mama pun membebel sebab Iyddin tak jaga barang sendiri di sekolah. Penat membebel mama masukkan lagi sebatang pensel baru dengan harapan Iyddin dan insaf sebab dah kena bebel. Sekali balik sekolah semalam, mama terus spot check beg Iyddin lagi. Apalagi cari pensel lah. Sekali lagi mama geram. Sebatang pensel pun tak ada. Mama dah malas nak membebel lagi. Jadi mama ambil tindakan lain, mama diam aje. Apa pun yang Iyddin tegur, buat atau apa saja mama tak bagi respon.

Atuk pulak ambik kesempatan slow talk dengan Iyddin...

"Dekat sekolah Iyddin tu ada hantu ke?"

"Ada," jawab Iyddin dengan jujurnya.

"Dekat bilik air tuk. Ada orang nampak hantu dekat bilik air."

Betullah budak ni tak paham bahasa terbalik...

Atuk sambung lagi...

"Hantu tu kot yang ambik pensel Iyddin."

"Yelah tuk, Iyddin rasa pun macam tu."...

Hi... geramnya mama dengar ayat Iyddin. Lama-lama macam ni mama yang naik hantu nanti. Sabar ajelah....

Monday, January 11, 2010

Iyddin dan Sayur!

Hai!
"Buangkan bawangnya ye."
"Mama buangkan sayurnya ye."
"Ha!??? kenapa ada sayur ni? Iyddin tak nak makanlah."
"Iyddin makan kat sekolah tak hari ni?" "Tak...." Mesti sebab benda alah tu jugak kan?
Bila tergigit sayur je Iyddin hilang selera makan. Terus muntahkan di bilik air.Tapi... nasib baik tak semua sayur Iyddin benci. Satu-satunya sayur yang Iyddin makan ialah kangkung goreng. Ya! Itu saja! Itupun sebab suatu hari tu masa jalan-jalan di GIANT Iyddin ternampak ada seorang lelaki kerdil. Bila Iyddin tanya mama, mama kata orang tu jadi macam tu sebab masa kecik tak nak makan sayur. Terus dia termenung dan berfikir. Lepas tulah baru dia cakap dia nak makan sayur. Tapi, kangkung aje. Terus suruh mama beli kangkung. Susahnya nak bagi makan sayurkan? Kawan-kawan ada idea tak macamana nak bagi anak suka makan sayur?


 
Bunga yang besar tu bunga turi, bunga yang kecil-kecil
tu bunga lengkuas. Boleh dibuat ulam selepas dicelur.
Rasanya... pedas!!!

Monday, January 4, 2010

Hari Pertama Persekolahan!

Wah, hari ni Iyddin bangun dengan semangat yang berkobar-kobar. Iyddin nak pergi sekolah!

Baju,... siap!

Seluar... siap!

Tali leher + tali pinggang... siap!

Botol air + bekal.... siap!

Beg... siap!

Opps... bekal roti telur Iyddin dah termakan sampai habis. Ayooyooo..

Takpe, masa banyak lagi. Nenek gorengkan nasi pulak. Siap!!!!

Begitulah bersemangatnya Iyddin. Harap-harap semangat macam ni akan terus kekal sampai bila-bila.

Di sekolah, hujan turun dengan lebatnya. Namun perjalanan taklimat bersama pelajar tahun satu dan ibu bapa berjalan lancar. Waktu persekolahan bermula jam 7.45 pagi dan tamat jam 5.30 petang. Makan pagi dan tengah hari disediakan. Para pelajar juga dikehendaki membawa selipar untuk tujuan solat Zuhur pada setiap hari.

Sebelah petang sementara menunggu mama sampai Iyddin ke kantin. Iyddin menghabiskan bekalan yang disediakan oleh nenek. Iyddin betul-betul kepenatan dan kelaparan. Bila nampak kelibat mama Iyddin pun ikut mama balik. Tapi tak sempat sampai rumah, Iyddin dan zzzzzzzz dalam kereta. Kesiannnnn.... Iyddin.


Saturday, January 2, 2010

Si Tona!

Kucing mana pulak ni? Terkais-kais bawah pintu nak masuk ke rumah. Cantik juga kucing ni. Macam ada orang bela. Tapi kenapa dia tak pergi-pergi dari sini. Dah dua tiga hari duduk di belakang rumah ni.

"Mama, Iyddin nak bela kucing ni boleh?"

"Jangan nak mengada-ngada. Bukan senang nak bela kucing."

Esoknya...

Amboi... tengok, kucing tu duduk di buai dengan atuk. Bukan main lagi dia. Siap tidur sebelah atuk lagi. Senyuman Iyddin semakin lebar. Ada harapan boleh bela ni. Atuk mesti sokong.

"Ya Allah, habis kereta aku. Ni mesti kucing ni punya kerja. Baru basuh dah penuh dengan bulu dan tapak kaki dia." Mendengar rungutan mama Iyddin cuak semula.

"Buang ajelah kucing tu." Nenek pula memberi cadangan yang menyentap jiwa Iyddin. Sepanjang hari tu Iyddin bermain dengan kucing yang dipanggilnya Tona. Kucing tu pun melayan sama. Main hide and seeklah, main geletek-geleteklah, main lompat-lompat dan macam-macam lagi.

"Iyddin, mandi. Dah petang ni." Iyddin buat tak layan je panggilan mama. Iyddin seronok sangat bermain dengan Tona. Maklumlah sebelum ni jarang ada kucing yang nak dekat dengan Iyddin. Bila dah dua tiga kali suruh Iyddin buat deeek je, apalagi mama pun menjeritlah. baru Iyddin terkocoh-kocoh ke bilik air mandi.

Masa Iyddin mandi, nenek buat plan dia tersendiri. "Kita kasi cikgu Tukimah ajelah kucing ni." kata nenek. Mama bersetuju dengan cadangan nenek. Jadi secara senyap-senyap Tona pun disedekahkanlah kepada cikgu Tukimah.

Lepas Iyddin mandi...

"Tona... Tona... mana Tona ni?" Iyddin kehairanan. Mama pun bagi tau Iyddin yang Tona dah diberi kepada orang lain. Apalagi berjejeranlah air mata Iyddin. Iyddin terus berkurung dalam bilik sepanjang malam tu. Menangis sampai tertidur-tidur. Sedih juga mama tengok Iyddin macam tu. Iyddin tak pernah bersedih macam tu sekali. Nak menyesal dah terlambat. Kucing tu dah diberi kepada orang lain. Dalam hati mama berharap juga agar kucing tu balik semula.

Keesokan harinya.

Selepas solat Subuh mama membuka langsir pintu. Alangkah terkejutnya mama melihat Si Tona sedang menunggu di pintu seperti biasa. Alhamdulillah... Balik juga si Tona ni. Mulai hari tersebut mama memberi keizinan kepada Iyddin untuk membela Tona. Hari tu jugalah mama membelikan peralatan khas untuk memandikan kucing dan makanannya sekali. Inilah si Tona kesayangan Iyddin tu.






Muka mengantuk selepas kekenyangan...
Apa lagilah si Iyddin nak buat kat aku ni...

Friday, January 1, 2010

Mendaftar darjah satu!



Hari ni 1 Januari 2010 Iyddin akan mendaftar dalam darjah satu di Sekolah Rendah Agama Bersepadu. Pagi-pagi lagi mama dah kejutkan Iyddin untuk bersiap ke sekolah. "Pakai baju biasa je. Tak payah pakai baju sekolah." kata mama.

Tiba di sekolah Iyddin dan mama terus ke tempat pendaftaran yang letaknya di kantin sekolah. Banyak juga budak-budak lain yang datang dengan ibu bapa mereka. Mama terus mencari kaunter pendaftaran darjah satu. Selepas membayar yuran, barulah Iyddin tahu yang Iyddin di tempatkan di kelas 1 Arabi. Ada dua kelas sahaja darjah satu di sekolah ni. Satu lagi kelas namanya 1 Majah.

Jumlah pelajar darjah satu yang Iyddin tengok dalam senarai nama ada lebih kurang 84 orang. Wah.. ramailah kawan-kawan Iyddin selepas ini. Kemudian mama ke kaunter pembelian buku dan peralatan. Banyaknya buku Iyddin. Tak sama macam masa di Sekolah Tadika Agama Taman Desa. Masa mendaftar tadi Iyddin tak bawa kamera. Jadi tak adalah gambar Iyddin. Tapi Iyddin akan tunjukkan kelengkapan persekolahan Iyddin yang papa dan mama Iyddin telah sediakan.